Showing posts with label Tazkirah. Show all posts
Showing posts with label Tazkirah. Show all posts

Tuesday, April 15, 2014

TAKDIR, IKHTIAR DAN KUDRAT

Beriman kepada qada’ dan qadar Allah s.w.t. adalah satu tuntutan ke atas setiap muslim yang beriman. Qada’ adalah pelaksanaan kepada ketetapan Allah s.w.t. ke atas makhlukNya di dunia ini, manakala  qadar pula ialah takdir atau ketentuan Allah s.w.t. dengan meletakkan sesuatu  pada tempatnya yang munasabah (al-Syafei 2003; Abdul Fatah Haron  2003; Muhamad al-Ghazali 1997), satu sistem, undang-undang dan garis panduan yang mengikat antara sebab dan musabab yang ditetapkan Allah s.w.t. kepada makhlukNya (Sayid Sabiq 2005).  Semua peristiwa sama ada baik dan buruk adalah takdir Allah s.w.t.  Namun begitu, seorang muslim diharuskan menolak takdir buruk dengan takdir baik. Di mana kufur itu dihilangkan dengan iman, bid’ah dihilangkan dengan sunnah, maksiat dengan ketaatan, penyakit dengan ubat, kebodohan dengan pengetahuan, kekalahan dengan jihad, kemiskinan dengan bekerja dan begitulah seterusnya (Abdul Qadir Jailani 1980)
Dalam hal ini, apa yang berlaku pada manusia itu, adalah takdir yang ditentukan Allah s.w.t. ke atasnya, selagi manusia belum menghadapi peristiwa tersebut, mereka masih boleh mengubah nasib hidup mereka sebagaimana pendapat Syeikh Abdul Qadir Jailani yang mengatakan manusia boleh menolak kesakitan dengan memakan ubat, penderitaan dengan kegembiraan, kekalahan dengan usaha dan perjuangan. Apabila telah berlaku ketentuan tersebut, manusia tidak boleh melarikan diri daripada berhadapan dengan takdir Allah s.w.t. sama ada dalam keadaan suka atau tidak suka. Allah s.w.t. menunjukkan kekuasanNya ke atas makhlukNya dengan meletakkan seluruh sistem kehidupan manusia terletak dalam ilmu pengetahuanNya, begitu juga seluruh ketentuan dan nasib yang berlaku pada manusia adalah dalam ilmuNya.

Bagi memahami konsep qada’ dan qadar Allah s.w.t.  Imam al-Syafei (2003) telah menggariskan ketentuan atau qadar Allah s.w.t. itu perlu dilihat dalam empat aspek. Kempat-empat aspek tersebut ialah ilmu Allah s.w.t. ke atas segala sesuatu sama ada tentang masa lalu, masa sekarang dan masa akan datang. Allah s.w.t. Maha Mengetahui apa yang terjadi sama ada dalam keadaan terang atau dalam keadaan gelap, di mana tidak ada yang dapat bersembunyi daripada pengetahuan Allah s.w.t. Aspek  kedua dalam konsep qadar Allah s.w.t. ialah suratan yang telah termaktub di Luf Mahfuz segala apa berlaku ke atas makhlukNya sehinggalah hari kiamat.

Segala peristiwa dan kejadian yang berlaku ke atas makhlukNya sama ada kecil atau besar, mudah atau senang semuanya telah tertulis di Luh Mahfuz sejak azali lagi. Manusia tidak boleh menolak ketentuan yang telah tertulis ke atas mereka, kerana semuanya dalam pengetahuan Allah s.w.t. Aspek ketiga dalam qadar Allah s.w.t. ialah berkenaan dengan kehendak Allah s.w.t. (masyi’ah). Tidak ada sesuatu yang berlaku di alam ini melainkan atas kehendak Allah s.w.t. Sekiranya Allah s.w.t. menghendaki sesuatu itu berlaku, ia akan berlaku dan sekiranya Allah s.w.t. tidak mengizinkan berlakunya sesuatu, ia tidak akan berlaku. Tiada kuasa yang boleh menghalang kehendak Allah s.w.t. Aspek keempat yang melengkapkan qadar Allah s.w.t. ialah kuasa Allah s.w.t. mencipta dan memiliki semua yang ada di alam ini tanpa terkecuali walau satu zarah. Semua makhluk  adalah kepunyaan Allah s.w.t. daripada seluruh makhluk di langit dan di bumi adalah tunduk di bawah kuasa Allah s.w.t.

Martabat qadar Allah s.w.t. yang dikemukakan oleh Imam al-Syafei menunjukkan kekuasaan Allah s.w.t. secara menyeluruh ke atas makhlukNya, bermula dengan ilmuNya kepada perbuatan hambaNya, suratan takdir yang tertulis di Luh Mahfuz, kehendak Allah atas segala sesuatu dan kepunyaan Allah segala yang di langit dan di bumi. Walau bagaimanapun, Allah s.w.t. telah mengurniakan kepada hambaNya ikhtiar dan iradat untuk melaksanakan sesuatu atau meninggalkan sesuatu perbuatan itu. Dalam hal ini, Abdul Qadir (1968) berpendapat, manusia perlu melihat takdir Allah s.w.t. secara menyeluruh. Kebanyakan manusia menyangka apabila melihat keburukan ialah mereka wajib menerimanya dan tidak boleh menolaknya, sedangkan Allah s.w.t. mengurniakan kepada manusia kebaikan dan keburukan dalam kehidupan. Allah s.w.t. memberikan kepada hambaNya tiga pilihan, iaitu mengambil keburukan tersebut, berserah kepada keburukan tersebut dan mengambil kebaikan serta menolak keburukan.

Menurut Abdul Qadir (1980), setiap keadaan hidup sama ada bahagia mahupun derita dan sengsara memiliki batas waktu tertentu. Waktu itu tidak boleh didahulukan dan tidak juga diakhirkan. Oleh sebab itu, yang harus dilakukan oleh setiap manusia adalah memecahkan masalah kehidupan ini dengan cara-cara yang dibenarkan agama, sambil menunggu hilangnya masalah tersebut dan berganti dengan keadaan sebaliknya kerana tempohnya telah habis. Oleh sebab itulah, Abdul Qadir berpendapat, sesiapa yang mencari cahaya siang pada waktu senjakala, dia tidak akan berjaya memperolehnya, malahan kegelapan malam akan semakin bertambah sehingga habis waktunya dan terbitlah fajar diiringi dengan waktu siang. Seandainya manusia berdoa, malam dikembalikan setelah tiba waktu siang, doanya tidak akan diterima kerana dia meminta bukan pada masanya.
Ini menunjukkan manusia dikurniakan Allah s.w.t. dengan ikhtiar (kemampuan membuat pilihan) dan kudrat  (kuasa menerima dan menolak) bagi menghadapi takdir Allah s.w.t., di mana takdir Allah s.w.t. itu ada takdir baik dan ada takdir buruk. Manusia diberikan kudrat dan juga ikhtiar untuk membuat pilihan dan menerima serta menolak takdir tersebut dengan takdir yang lain. Oleh sebab itu, tidak ada alasan bagi yang melakukan maksiat untuk mengatakan bahawa semua kelakuannya adalah dengan takdir Tuhan kerana dia telah melakukannya dengan kehendak dan ikhtiarnya sendiri. Tiada sesiapa dalam kalangan manusia yang mengetahui qada’ dan qadar Allah s.w.t. ke atas seseorang melainkan setelah ianya berlaku (Abdul Fatah Haron 2003).

Beriman kepada qada’ dan qadar Allah s.w.t. mendorong seseorang untuk menerima ketentuan yang telah ditetapkan kepadanya dan sentiasa berusaha untuk mengubah kehidupannya kepada takdir yang lebih baik. Keadaan ini tidak bertentangan dengan kewajipan beriman kepada qadha’ baik dan buruk, kerana selagi sesuatu peristiwa itu belum berlaku ia bukanlah ketentuan yang ditentukan Allah s.w.t. Ketentuan itu dikatakan takdir Allah s.w.t. apabila terlaksananya peristiwa tersebut ke atas manusia (Al-Syafei 2003).


Oleh: Ustazah Norsaleha bt Mohd Salleh
Ketua Wanita ISMA

Sumber :http://www.wanitaisma.net/

Baca Selanjutnya...

Wednesday, February 24, 2010

MAULIDUR RASUL


Pengertian
Bulan Rabiulawal bermaksud bulan dimana bermulanya musim bunga bagi tanaman. Mengikut kebiasaannya di Tanah Arab, sewaktu bulan Rabiulawal pokok buah-buahan mula berbunga dan seterusnya berbuah.
Maka nama bulan ini diambil sempena musim berbunga tanaman mereka. Dan setelah kedatangan Islam, Rasulullah saw telah mengekalkan nama Rabiulawal ini sehinggalah sekarang.
Peristiwa-Peristiwa Penting Bulan Rabiul Awal

Ada banyak peristiwa penting yang telah dicatatkan oleh sejarah jatuh bangunnya tamadun Islam di dalam bulan Rabiulawal ini dan diantaranya ialah;
1. Kelahiran junjungan besar kita, Muhammad Rasulullah saw. Mengikut sumber-sumber mengatakan bahawa nabi lahir pada 12 Rabiul Awwal tahun gajah bersamaan 23 April 571M. Ini adalah sumber yang masyhur dan menjadi amalan umat Islam di Malaysia mengadakan sambutan Maulidurrasul pada 12 Rabiul Awwal di setiap tahun sehinggalah sekarang. Walau bagaimanapun ada sumber yang lain mengatakan bahawa nabi lahir pada 9 Rabiul Awwal tahun Gajah. Perbezaan pendapat ini akan disentuh lebih lanjut di bahagian Maulidur Rasul.
2. Perlantikan Nabi menjadi Rasul. Dibulan Rabiulawal inilah Nabi saw diangkat menjadi Rasul. Ketika ini Nabi saw berumur 40 tahun. Maka dengan ini bermulah dakwah baginda secara rasmi di Makkah al-Mukarramah.
3. Hijrah Tarikh hijrah adalah tarikh tibanya Rasulullah di Madinah al-Munawwarah pada ketika itu di sebut Yatsrib. Rasulullah sampai di Quba' pada hari Isnin 8 Rabiulawal dan Baginda sampai di Kota Madinah pada hari Jumaat 12 Rabiulawal dan Baginda menunaikan solat Jumaat yang pertama.
4. Peperangan Banyak peperangan yang telah terjadi pada zaman Rasulullah saw diantara tentera Islam dan tentera kuffar. Diantara peperangan yang berlaku di bulan Rabiulawal ialah peperangan Safwan (Badar pertama), Bawat, Zi Amar (Ghatfan), Bani An-Nadhir, Daumatul Jandal dan peperangan Bani Lahyan.
5. Wafatnya junjungan besar kita, Muhammad Rasulullah saw. Rasulullah telah wafat pada hari Isnin 12 Rabiulawal 11H bersamaan 7 Jun 632M. Baginda wafat di rumah isterinya Aisyah ra dan dikebumikan di Madinah al-Munawwarah.
6. Abu Bakar ra. menjadi khalifah Pada hari Rasulullah wafat, para sahabat tidak mahu menangguh urusan pentadbiran kerajaan dan segera membai'ah saidina Abu Bakar ra di Dewan Bani Sa'idah. Ini adalah kerana urusan pentadbiran negara tidak boleh terhenti walau seketika dan ia adalah nadi sesebuah kerajaan. Sebahagian sahabat pula menguruskan pengkebumian jenazah Rasulullah saw yang diketuai oleh Saidina Ali ra Ahli Bait Rasulullah saw.
7. Pembukaan Iraq Tentera Islam yang dipimpin oleh Khalid Ibni Walid ra telah memasuki Iraq dan bermulalah pemerintahan Islam di bumi Iraq di zaman saidina Abu Bakar ra.
8. Pembukaan Baitul Muqaddis Salahuddin al-Ayubi telah memimpin tentera Islam menewaskan tentera Salib dan seterusnya membuka pintu bagi pembukaan Baitul Muqaddis pada tahun 583 H.
9. Kejatuhan Empayar kerajaan Islam Sepanyol Kubu terakhir tentera Islam di Andalusia telah ditumbangkan oleh tentera Sepanyol yang dipimpin oleh Ferdinando dan Isabella pada tahun 897H. Bermulalah kemusnahan tempat-tempat bersejarah warisan umat Islam, masjid-masjid ditukar menjadi gereja dan muzium dan tiada lagi suara azan di negara tersebut.

Baca Selanjutnya...

Saturday, January 23, 2010

KEAGONGAN SOLAT DAN FADHILATNYA


Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: Setelah Allah SWT selesai menciptakan Jibrail as dengan bentuk yang cantik, dan Allah menciptakan pula baginya 600 sayap yang panjang , sayap itu antara timur dan barat (ada pendapat lain menyatakan 124, 000 sayap). Setelah itu Jibrail as memandang dirinya sendiri dan berkata: "Wahai Tuhanku, adakah engkau menciptakan makhluk yang lebih baik daripada aku?." Lalu Allah berfirman yang bermaksud.. "Tidak" Kemudian Jibrail as berdiri serta solat dua rakaat kerana syukur kepada Allah swt. dan tiap-tiap rakaat itu lamanya 20,000 tahun. Setelah selesai Jibrail as solat, maka Allah SWT berfirman yang bermaksud. "Wahai Jibrail, kamu telah menyembah aku dengan ibadah yang bersungguh-sungguh, dan tidak ada seorang pun yang menyembah kepadaku seperti ibadat kamu, akan tetapi di akhir zaman nanti akan datang seorang nabi yang mulia yang paling aku cintai, namanya 'Muhammad.' Dia mempunyai umat yang lemah dan sentiasa berdosa, sekiranya mereka itu mengerjakan solat dua rakaat yang hanya sebentar sahaja, dan mereka dalam keadaan lupa serta serba kurang, fikiran mereka melayang bermacam-macam dan dosa mereka pun besar juga. Maka demi kemuliaannKu dan ketinggianKu, sesungguhnya solat mereka itu aku lebih sukai dari solatmu itu. Kerana mereka mengerjakan solat atas perintahKu, sedangkan kamu mengerjakan solat bukan atas perintahKu." Kemudian Jibrail as berkata: "Ya Tuhanku, apakah yang Engkau hadiahkan kepada mereka sebagai imbalan ibadat mereka?" Lalu Allah berfirman yang bermaksud. "Ya Jibrail, akan Aku berikan syurga Ma'waa sebagai tempat tinggal... " Kemudian Jibrail as meminta izin keada Allah untuk melihat syura Ma'waa. Setelah Jibrail as mendapat izin dari Allah SWT maka pergilah Jibrail as dengan mengembangkan sayapnya dan terbang, setiap dia mengembangkan dua sayapnya dia boleh menempuh jarak perjalanan 3000 tahun, terbanglah malaikat jibrail as selama 300 tahun sehingga ia merasa letih dan lemah dan akhirnya dia turun singgah berteduh di bawah bayangan sebuah pohon dan dia sujud kepada Allah SWT lalu ia berkata dalam sujud: "Ya Tuhanku apakah sudah aku menempuh jarak perjalanan setengahnya, atau sepertiganya, atau seperempatnya?" Kemudian Allah swt berfirman yang bermaksud. "Wahai Jibrail, kalau kamu dapat terbang selama 3000 tahun dan meskipun aku memberikan kekuatan kepadamu seperti kekuatan yang engkau miliki, lalu kamu terbang seperti yang telah kamu lakukan, nescaya kamu tidak akan sampai kepada sepersepuluh dari beberapa perpuluhan yang telah kuberikan kepada umat Muhammad terhadap imbalan solat dua rakaat yang mereka kerjakan... .." Marilah sama2 kita fikirkan dan berusaha lakukan... Sesungguhnya Allah S.W.T telah menyembunyikan enam perkara iaitu : * Allah S.W.T telah menyembunyikan redha-Nya dalam taat. * Allah S.W.T telah menyembunyikan murka-Nya di dalam maksiat. * Allah S.W.T telah menyembunyikan nama-Nya yang Maha Agung di dalam Al-Quran. * Allah S.W.T telah menyembunyikan Lailatul Qadar di dalam bulan Ramadhan. * Allah S.W.T telah menyembunyikan solat yang paling utama di dalam solat (yang lima waktu). * Allah S.W.T telah menyembunyikan (tarikh terjadinya) hari kiamat di dalam semua hari. Semoga kita mendapat berkat daripada ilmu ini. Wallahualam

Baca Selanjutnya...

Tuesday, November 10, 2009

SAKIT DAN UJIAN

Apabila seseorang itu ditimpa sakit, maka seluruh manusia yang ada kaitan dengannya turut diuji oleh Allah. Pertama orang yang sakit itu sendiri, sekiranya sabar di samping mencari jalan agar penyakitnya sembuh akan mendapat pahala yang berganda-ganda. Kedua ahli keluarga yang menjaganya yang juga dituntut agar sabar melayani karenah anggotanya yang ditimpa musibah. Di sini kita dapat melihat kesabaran suami atau isteri serta anak-anak.Seterusnya Allah menguji anggota masyarakat bermula dengan jiran tetangga. Sejauh mana keprihatinan mereka kepada jiran yang sakit itu. Adakah mereka peka serta melakukan amalan ziarah menziarahi bagi meringankan sedikit beban yang dipikul pesakit ataupun sebaliknya. Begitu juga pengamal-pengamal perubatan (atau kita namakan doktor, jururawat, staf hospital dan sebagainya) yang didatangi pesakit. Adakah mereka benar-benar ikhlas di dalam membantu pesakit atau sebaliknya hanya mementingkan motif perniagaan semata-mata. Bahkan yang difikirkan terlebih dahulu adalah sumber pendapatan mereka yang sangat lumayan walaupun kadang-kadang terpaksa memberikan pesakit dos (ubat) yang tidak sesuai.

Firman Allah dalam surah al-Ankabut ayat 2 yang bermaksud “Adakah manusia menghitung mereka akan ditinggalkan begitu sahaja setelah mereka mengaku beriman (kepada Allah) sedang mereka tidak diuji? Maka Kami telah uji mereka (umat) yang terdahulu maka sesungguhnya dengan itu Allah mengetahui orang-orang yang benar dan yang dusta”.

Berdasarkan mafhum ayat di atas, jelaslah bahawa Allah telah menyediakan kepada manusia pelbagai ujian untuk menyaring manakah di antara mereka itu benar-benar beriman ataupun pendusta, iaitu secara zahirnya nampak macam orang-orang beriman tetapi pada hakikatnya mereka itu langsung tidak mengenal erti keimanan kepada Allah. Ataupun dalam perkataan lain mereka yang berpaling tadah.

Imam al-Qurtubi (671H) menceritakan daripada Ibnu Abbas ra “yang dimaksudkan dengan manusia di dalam ayat tersebut adalah orang-orang Islam di Mekkah yang telah disiksa oleh kaum musyrikin seperti Salmah bin Hisyam, ‘Iyyash bin Abi Rabi’ah, ‘Ammar bin Yasir dan sebagainya”. Maka dengan turunnya ayat ini mengajarkan bahawa telah menjadi sunnatullah yang akan menguji keimanan hamba-hambanya.

Nabi Muhammad SAW juga pernah ditanya berkenaan dengan ujian Allah ini kepada hamba-hambaNya, maka baginda menjawab “Golongan yang paling banyak menerima ujian adalah daripada kalangan para Nabi, kemudian orang-orang yang soleh sehingga mereka diuji dengan kemiskinan dan kemelaratan sehingga tidak ada yang dapat dijadikan pakaian melainkan kain yang telah usang”

Kesimpulan

Tidak ada seorang pun yang inginkan kesakitan (ujian dalam bentuk sakit). Apabila ditimpa sakit, seboleh-bolehnya akan dicari ubat berkesan dengan seberapa segera. Sebaliknya Allah suka kepada hamba-hambaNya yang sakit serta dapat pula mengambil peluang semasa sakitnya untuk lebih mendekatkan diri kepadaNya. Bukan terhad kepada dirinya sendiri sahaja, malah seluruh manusia yang berurusan dan berkaitan dengannya termasuklah kaum keluarga (yang dekat maupun yang jauh) jiran-jiran sehingga kepada ahli masyarakat yang lain.

Baca Selanjutnya...

Wednesday, September 30, 2009

ADAB-ADAB TERHADAP IBUBAPA

SEORANG anak perlu menghormati ibu kerana ibu begitu berkorban dan susah menjaga mereka ketika kecil. Selain kasih kepada ibu, anak mesti juga memberi kasih sayang yang sama kepada bapa.
Bapa pula bertanggungjawab terhadap makan, minum, pakaian, tempat tinggal, pelajaran dan lain-lain keperluan keluarga. Oleh itu, manusia harus berbakti kepada ibu bapa dan mentaati suruhannya sebagai tanda membalas budi terhadap jasa keduanya.Agama Islam menetapkan beberapa peraturan dan tata susila yang harus menjadi amalan semua anak apabila berhadapan dengan ibu bapa mereka. Antaranya:

Berbuat baik kepada kedua ibu bapa
Maknanya, berbuat baik kepada kedua ibu bapa adalah sifat Muslim yang mulia. Banyak nas dan yang menyuruh seseorang itu berbuat baik kepada kedua ibu bapanya. Firman Allah yang bermaksud: Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Dan berbuat baiklah kepada kedua orang ibu bapa. (Surah an-Nisaa’, ayat 36).
Tidak ada jalan lain untuk membahagiakan ibu bapa melainkan dengan berbuat baik kepada mereka.

Menghargai dan menghormati mereka
Sebagai menghargai jasa kedua ibu bapa, Islam mengangkat tinggi darjat keduanya, iaitu selepas darjat beriman kepada Allah dan beribadat kepada-Nya. Al-Quran memandang mulia konsep ihsan terhadap kedudukan ibu bapa. Sebagai seorang anak, penggunaan tutur kata haruslah lemah-lembut. Allah berfirman yang bermaksud: Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah, Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku ketika aku kecil. (Surah al-Isra’, ayat 24).

Merendahkan suara ketika berbicara dengan ibu bapa
Apabila berbicara dengan ibu bapa, janganlah sesekali mengeluarkan perkataan yang tidak menyenangkan dan boleh menyinggung perasaan, umpamanya dengan suara tinggi. Firman Allah: Maka sesekali janganlah kamu mengucapkan ah kepada keduanya. (Surah an-Nisaa’, ayat 23).

Berdoa untuk kebahagiaan ibu bapa
Seseorang anak hendaklah sentiasa mendoakan ibu bapa sama ada yang masih hidup atau yang sudah meninggal dunia. Sebagai seorang anak salih, tidak seharusnya melupakan ibu bapa begitu saja. Allah berfirman yang bermaksud: Dan ucapkanlah wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua mendidik aku waktu kecil. (Surah al-Isra’, ayat 24).

Jangan menderhaka kepada ibu bapa
Seorang anak dilarang sama sekali menderhaka ibu bapa. Sesungguhnya, derhaka kepada ibu bapa adalah dosa paling besar dan keji.

Hormat kepada ibu bapa bukan Muslim
Seseorang anak harus juga berbakti dan menghormati ibu bapa sekalipun mereka bukan beragama Islam. Asma’ Abu Bakar pernah berkata, aku pergi kepada ibuku padahal dia masih musyrik, lalu aku meminta fatwa daripada Rasullah : Aku berkata: Aku bertemu dengan ibuku dan dia meminta sesuatu kepadaku, adakah aku boleh menghubungi dia?

Jawab Baginda: Ya, hubungilah ibumu, ini bererti berbaktilah kepadanya. (Muttafaq Alaihi).

Baca Selanjutnya...

Friday, August 14, 2009

HADIS : PERLUNYA MENAHAN MARAH


Diriwayat daripada Abu Hurairah r.a. bahawa seorang lelaki meminta nasihat daripada Nabi s.a.w. katanya, "Berilah wasiat kepadaku." Sabda s.a.w ,'“Janganlah engkau marah.” Lelaki itu mengulangi (permintaannya) beberapa kali. Rasulullah s.a.w. tetap bersabda, "Janganlah engkau marah." (Hadis Riwayat al-Bukhari)


1. Hendaklah melatih diri dengan akhlak yang mulia seperti sabar, lemah lembut, berhati-hati dalam membuat keputusan. Sifat ini hendaklah berpandu kepada contoh yang paling baik iaitu contoh yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w terutamanya contoh yang terdapat dalam Sunnahnya yang bersifat amali. Hendaklah mengawal dan menguasai diri ketika didatangi perasaan marah, iaitu dengan mengingati akibat buruk yang akan menimpa dan kelebihan pahala orang yang menahan marah serta memaafkan sahaja seseorang melakukan kesalahan yang menyebabkan dia marah, firman Allah S.W.T: "…Dan orang yang menahan kemarahan-nya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah) Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik." (Ali Imran3-134)

2. Memohon kepada Allah supaya menjauhkannya daripada syaitan yang dilaknat. Panduan ini dinyatakan didalam Al-Quran melalui firman Allah S.W.T.: "Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan daripada syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Mendengar lagi Amat Mengetahui." (al-A'raf 7:200)

3. Meninggalkan tempat yang menyebabkan seseorang itu marah. Sabda Baginda: "Apabila seseorang kamu marah, sedang dia berdiri, maka duduklah, jika marahnya berhenti (maka baiklah) jika belum, maka hendaklah dia berbaring." (Abu Daud)

4. Mengambil wuduk, sabda Nabi s.a.w.: "Sesungguhnya marah itu dari syaitan. Syaitan itu dijadikan daripada api,apabila kamu marah, maka hendaklah dia mengambil wuduk." (Abu Daud)

Oleh kerana besarnya bahaya marah, Nabi s.a.w. melarang keras seseorang daripada marah, dengan menyifatkan orang yang berjaya menahan diri daripada perasaan marah sebagai pahlawan yang berani. "Bukannya kuat (kerana dapat mengalahkan orang) dengan bergusti, tetapi kekuatan sebenarnya ialah orang yang dapat mengawal dirinya ketika marah." (Al-Tirmizi)

Baca Selanjutnya...

Sunday, August 9, 2009

TAZKIRAH

Seorang ahli ibadah bernama Isam Bin Yusuf, sangat warak dan khusyuk solatnya. Namun, dia selalu khuatir kalau-kalau ibadahnya kurang khusyuk dan selalu bertanya kepada orang yang dianggapnya lebih ibadahnya, demi untuk memperbaiki dirinya yang selalu dirasainya kurang khusyuk.
Pada suatu hari, Isam menghadiri majlis seorang abid bernama Hatim Al-Assam dan bertanya, "Wahai Aba Abdurrahman, bagaimanakah caranya tuan solat?"
Hatim berkata, "Apabila masuk waktu solat, aku berwudhu' zahir dan batin."Isam bertanya, "Bagaimana wudhu' zahir dan batin itu?"

Hatim berkata, "Wudhu' zahir sebagaimana biasa iaitu membasuh semua anggota wudhu' dengan air". Sementara wudhu' batin ialah membasuh anggota dengan tujuh perkara :-

* Bertaubat
* Menyesali dosa yang telah dilakukan
* Tidak tergila-gilakan dunia
* Tidak mencari/mengharap pujian orang (riya')
* Tinggalkan sifat berbangga
* Tinggalkan sifat khianat dan menipu
* Meninggalkan sifat dengki.

Seterusnya Hatim berkata, "Kemudian aku pergi ke masjid, aku kemaskan semua anggotaku dan menghadap kiblat.Aku berdiri dengan penuh ke wa spadaan dan aku rasakan:

1.aku sedang berhadapan dengan Allah,
2.Syurga di sebelah kananku,
3.Neraka di sebelah kiriku,
4.Malaikat Maut berada di belakangku, dan
5.aku bayangkan pula aku seolah-olah berdiri di atas titian 'Siratal mustaqim' dan menganggap baha wa solatku kali ini adalah solat terakhir bagiku, kemudian aku berniat dan bertakbir dengan baik."

"Setiap bacaan dan doa didalam solat, aku faham maknanya kemudian akurukuk dan sujud dengan ta wa dhuk, aku bertasyahud dengan penuhpengharapan dan aku memberi salam dengan ikhlas. Beginilah aku bersolatselama 30 tahun."

Apabila Isam mendengar, menangislah dia kerana membayangkan ibadahnyayang kurang baik bila dibandingkan dengan Hatim.

Sumber bahan: http://suraualmuttaqin.blogspot.com

Baca Selanjutnya...

Wednesday, July 1, 2009

REJAB : PERISTIWA ISRAK MIKRAJ


Israk Mikraj adalah satu peristiwa yang sangat luarbiasa yang telah dilalui Rasulullah s.a.w. Rasulullah telah melalui Israk dari Masjidil Haram, Mekah ke Masjidil Aqsa di Palestine. Mikraj pula merujuk kepada perjalanan Nabi merentas tujuh lapis langit hingga ke Sidratul Muntaha dan ke Mustawa. Semua itu berlaku hanya dalam satu malam.
Peristiwa Israk dan Mikraj berlaku setelah Nabi menempuh tahun dukacita di mana Nabi telah kehilangan orang yang paling dikasihi dalam hidupnya, iaitu isteri baginda, Siti Khadijah, dan bapa saudara baginda, Abu Talib. Mereka berdua adalah tokoh penting yang telah membantu usaha dakwah baginda di peringkat awal. Tidak lama kemudian, berlakulah pula peristiwa Taif, di mana baginda telah meghadapi cobaan yang sangat mencabar. Nabi telah dihina, dicerca dan dikecewakan oleh penduduk Taif yang telah menolak usah dakwah baginda.

Bayangkanlah bagaimana remuk redamnya perasaan Nabi ketika itu. Hilang teman hidup yang telah berkorban segala-galanya untuk Nabi dan perjuangan Islam, kemudian dikecewakan, dimalukan dan dicederakan oleh bangsanya sendiri. Baginda keseorangan dalam menghadapi tentangan musyrikin jahiliah.
Di saat kesedihan yang amat sangat itulah Jibril datang membawa pesan gembira untuk mengiringi Nabi untuk israk dan mikraj bertemu Pencipta nya. Itulah hadiah yang paling bermakna ketika baginda memerlukannya.

Peristiwa Israk Mikraj ini mengandungi banyak pengajaran yang boleh dijadikan iktibar. Namun, saya begitu tertarik dengan 2 pengajaran penting daripadanya iaitu

1. Kewajiban solat lima waktu telah dianugerahkan kepada umat Muhammad. Kewajiban solat diwahyukan terus tidak seperti kewajiban ibadat lain seperti zakat dan puasa yang diturunkan sebagai wahyu dan disampaikan melalui Jibril. Itu menunjukkan betapa penting dan istimewanya solat. Kewajiban solat juga adalah hadiah yang paling berharga kepada Nabi untuk merawat segala kesedihan dan kemurungan yang baginda hadapi.

Solatlah sebenarnya jalan penyelesaian kepada segala masalah yang kita hadapi. Andai kita berhadapan masalah yang berat yang tak tertanggung, kekecewaan yang tak terbendung, kebuntuan mencari jalan keluar, keresahan dan kekosongan jiwa, kembalilah kepada Allah. Carilah pengampunanNya dan berbicaralah terus dengan Nya.

Hamburkanlah segala duka lara dan resah gelisah jiwa kepada Yang Maha Pencipta, dalam setiap sujud kita. Jangan disimpan kemarahan kita kepada manusia. Lepaskanlah segala kekecewaan kita itu dan mengadulah kepada Yang Maha Bijaksana.

2. Israk Mikraj juga menguji keimanan kita untuk beriman kepada Allah dan Rasulnya dalam hal-hal yang di luar jangkauan pemikiran kita. Sahabat Nabi seperti Abu Bakar beriman dan percaya dengan sepenuh hati bahawa Nabi memang telah pergi ke Palestine dan merentasi 7 langit pada satu malam.

Bayangkanlah jikalau perkara yang sama itu disampaikan pada kita sekarang. Adakah kita akan mempercayai dan beriman dengannya sebagaimana Abu Bakar? Atau kita akan mula menggunakan logik akal kita lalu akan menolak kesahihan peristiwa itu dengan alasan tak masuk akal dan tak logik? Kita akan mula mengeluarkan teori sains yang kita tahu yang menafikan manusia boleh merentasi 7 langit hanya dalam satu malam. Mungkinkah jugakah kita akan ketawa sinis dan mempersendakan berita itu sebagai karut?

Sesungguhnya peristiwa Israk Mikraj jika dihayati dengan sesungguhnya, akan mengukuhkan keimanan kita dan memperkuatkan rasa takjub kepada kekuasaan Allah dalam mengatur kehidupan makhluk Nya. Peristiwa Israk Mikraj mengajar untuk percaya kepada perkara ghaib dan percaya kepada Al-Qur’an dan Hadith sebagai panduan dan penyelesai kepada masalah hidup manusia.

Baca Selanjutnya...

Wednesday, June 24, 2009

KELEBIHAN BULAN REJAB...


24 Jun 2009 hari ini adalah bersamaan dengan 1 Rejab 1430 Hijriah. Begitu cepat masa berlalu, kini bertemu kembali kita dengan bulan Rejab insyaallah seterusnya Sya'aban dan Ramadhan. Apabila kita mendengar nama tiga bulan ini pasti tergambar tentang kebesaran, keagongan dan kemuliannya. Sehingga dinamakan bulan Rejab bulan Allah, Sya'aban bulan Muhammad SAW dan Ramadhan bulan umat Muhammad. Tercatat pula peristiwa kebesarannya. Rejab dengan israk dan mikrajnya, Sya'aban dengan malam nisfunya dan Ramadhan dengan malam lailatul qadarnya. Kedatangan bulan Rejab kali ini mudah-mudahan dapat ditambahkan lagi amal ibadah. Bulan ini digalakkan umat memperbanyak amal, dan setiap amal memperoleh pahala yang berlipat ganda. Di bawah akan blogger bawakan beberapa hadis fadilat agar dapat memberikan galakan beramal di bulan ini. Mungkin ada yang mengatakan hadis-hadis fadilat tidak kuat untuk beramal dengannya. Tapi adalah lebih baik ibadah dapat diperbanyak, amalan ditambah melalui dorongan hadis -hadis fadilat daripada meninggalkan dan tidak berlumba-lumba menambah amal kerana status kekuatan hadis fadilat yang dipertikaikan.

FADILAT BULAN REJAB

Rasullullah s.a.w. bersabda;
"Puasa 1 hari pada bulan Rejab seperti puasa 40 tahun dan diberi minum air dari syurga"
Rasullullah s.a.w. bersabda;
"Puasa 1 hari pada bulan Rejab seperti mengerjakan ibadat seumurnya (sepanjang umurnya)."
Rasullullah s.a.w. bersabda;
"Puasa 3 hari dalam bulan Rejab, dijadikan parit yang panjang yang menghalangkan dia ke Neraka (panjangnya setahun perjalanan)"
Rasullullah s.a.w. bersabda;
"Sesiapa berpuasa 3 hari ada bulan Rejab dan beribadat pada malamnya (berjaga)seperti dia berpuasa 3,000 tahun,diampunkan baginya 70 dosa-dosa besar tiap-tiap hari, ditunaikan 70 hajat ketika keluar nyawanya daripada jasadnya,70 hajatnya di dalam kuburnya, 70 hajat ketika terbang suhuf (ketika Quran dinaikkan ke langit) 70 hajat ketika ditimbang amalannya di Mizan,70 hajat ketika berlalu di atas titi Sirotolmustaqim."
Rasullullah s.a.w. bersabda;
"Puasa 4 hari dalam bulan Rejab akan diafiatkan dia daripada bala dan daripada penyakit yang besar-besar, dan daripada fitnah dajal pada hari Kiamat."
Rasullullah s.a.w. bersabda,
"Puasa 5 hari pada bulan Rejab, aman daripada azab kubur."
Rasullullah s.a.w. bersabda;
"Puasa 6 hari pada bulan Rejab, keluar dari kubur bercahaya mukanya."
Rasullullah s.a.w. bersabda;
"Puasa 7 hari dalam bulan Rejab akan ditutup daripadanya 7 pintu Neraka."

Bacaan seterusnya Kelebihan Bulan Rejab KLIK SINI


Baca Selanjutnya...

Tuesday, June 16, 2009

13 AURAT MUSLIMAH

TIGA BELAS AURAT WANITA

Jun, 2009 by admin

1. Bulu kening

Menurut Bukhari, Rasullulah melaknati perempuan yang mencukur atau menipiskan bulu kening atau meminta supaya dicukurkan bulu kening

Petikan dari Hadis Riwayat Abu Daud Fi Fathil Bari.

2. Kaki memakai gelang berloceng

Dan janganlah mereka (perempuan) menghentakkan kaki (atau mengangkatnya) agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan - Petikan dari Surah An-Nur Ayat 31. Keterangan : Menampakkan kaki dan menghayunkan/melenggokkan badan mengikut hentakan kaki terutamanya pada mereka yang mengikatnya dengan loceng sama juga seperti pelacur dizaman jahiliyah.

3. Wangian

Siapa sahaja wanita yang memakai wangi-wangian kemudian melewati suatu kaum supaya mereka itu mencium baunya, maka wanita itu telah dianggap melakukan zina dan tiap-tiap mata ada zinanya terutamanya hidung yang berserombong kapal kata orang sekarang hidong belang - Petikan dari Hadis Riwayat Nasaii, Ibn Khuzaimah dan Hibban.

4. Dada

Hendaklah mereka (perempuan) melabuhkan kain tudung hingga menutupi bahagian hadapan dada-dada mereka - Petikan dari Surah An-Nur Ayat 31.

5. Gigi

Rasullulah melaknat perempuan yang mengikir gigi atau meminta supaya dikikirkan giginya - Petikan dari Hadis Riwayat At-Thabrani, Dilaknat perempuan yang menjarangkan giginya supaya menjadi cantik, yang merubah ciptaan Allah - Petikan dari Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.

6. Muka dan leher

Dan tinggallah kamu (perempuan) di rumah kamu dan janganlah kamu menampakkan perhiasan mu seperti orang jahilliah yang dahulu. Keterangan : Bersolek (make-up) dan menurut Maqatil sengaja membiarkan ikatan tudung yang menampakkan leher seperti orang Jahilliyah.

7. Muka dan Tangan

Asma Binte Abu Bakar telah menemui Rasullulah dengan memakai pakaian yang tipis. Sabda Rasullulah: Wahai Asma! Sesungguhnya seorang gadis yang telah berhaid tidak boleh baginya menzahirkan anggota badan kecuali pergelangan tangan dan wajah saja - Petikan dari Hadis Riwayat Muslim dan Bukhari.

8. Tangan

Sesungguhnya kepala yang ditusuk dengan besi itu lebih baik daripada menyentuh kaum yang bukan sejenis yang tidak halal baginya - Petikan dari Hadis Riwayat At Tabrani dan Baihaqi.

9. Mata

Dan katakanlah kepada perempuan mukmin hendaklah mereka menundukkan sebahagian dari pemandangannya - Petikan dari Surah An Nur Ayat 31.

Sabda Nabi Muhamad SAW, Jangan sampai pandangan yang satu mengikuti pandangan lainnya. Kamu hanya boleh pandangan yang pertama sahaja manakala pandangan seterusnya tidak dibenarkan hukumnya haram - Petikan dari Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tirmidzi.

10. Mulut (suara)

Janganlah perempuan-perempuan itu terlalu lunak dalam berbicara sehingga berkeinginan orang yang ada perasaan serong dalam hatinya, tetapi ucapkanlah perkataan-perkataan yang baik - Petikan dari Surah Al Ahzab Ayat 32.

Sabda SAW, Sesungguhnya akan ada umat ku yang minum arak yang mereka namakan dengan yang lain, iaitu kepala mereka dilalaikan oleh bunyi-bunyian (muzik) dan penyanyi perempuan, maka Allah akan tenggelamkan mereka itu dalam bumi - Petikan dari Hadis Riwayat Ibn Majah.

11. Kemaluan

Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan mukmin, hendaklah mereka menundukkan pandangan mereka dan menjaga kehormatan mereka - Petikan dari Surah An Nur Ayat 31.

Apabila seorang perempuan itu solat lima waktu, puasa di bulan Ramadan, menjaga kehormatannya dan mentaati suaminya, maka masuklah ia ke dalam Syurga daripada pintu-pintu yang ia kehendakinya - Hadis Riwayat Riwayat Al Bazzar.

Tiada seorang perempuanpun yang membuka pakaiannya bukan di rumah suaminya, melainkan dia telah membinasakan tabir antaranya dengan Allah - Petikan dari Hadis Riwayat Tirmidzi, Abu Daud dan Ibn Majah.

12. Pakaian

Barangsiapa memakai pakaian yang berlebih-lebihan terutama yang menjolok mata , maka Allah akan memberikan pakaian kehinaan di hari akhirat nanti - Petikan dari Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud , An Nasaii dan Ibn Majah.

Petikan dari Surah Al Ahzab Ayat 59. Bermaksud :

Hai nabi-nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin, hendaklah mereka memakai baju jilbab (baju labuh dan longgar) yang demikian itu supaya mereka mudah diken ali . Lantaran itu mereka tidak diganggu. Allah maha pengampun lagi maha penyayang.

Sesungguhnya sebilangan ahli Neraka ialah perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang yang condong pada maksiat dan menarik orang lain untuk melakukan maksiat. Mereka tidak akan masuk Syurga dan tidak akan mencium baunya.

Petikan dari Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim. Keterangan : Wanita yang berpakaian tipis/jarang, ketat/ membentuk dan berbelah/membuka bahagian-bahagian tertentu.

13. Rambut

Wahai anakku Fatimah! Adapun perempuan-perempuan yang akan digantung rambutnya hingga mendidih otaknya dalam Neraka adalah mereka itu di dunia tidak mahu menutup rambutnya daripada dilihat oleh lelaki yang bukan mahramnya - Petikan dari Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.


Baca Selanjutnya...

Tuesday, June 9, 2009

TANDA-TANDA KEMATIAN HATI MANUSIA

من علامات موت القلب عدم الخزن على ما فاتك من الموافقات , وترك الندم على ما فعلته من الزلات
"Sebahagian tanda-tanda kematian hati ialah tidak gundah dan susah atas sesuatu yang telah luput ia pada anda (manusia), berupa segala sesuatu yang bersesuaian (dengan perintah dan anjuran agama Allah swt). Dan meninggalkan penyesalan atas sesuatu yang telah anda kerjakan dari segala hal yang tidak baik."

Bagi orang yang sedang berjalan dengan amal ibadahnya menuju keredhaan Allah swt, mendekatkan diri kepada Allah dan menambah makrifatnya tentang Allah Yang Maha Esa, adalah syarat yang terpenting bagi orang itu supaya hatinya selalu hidup.



Hidup yang dimaksudkan di sini bukan hidup jasmaniah tetapi hidup hati atau rohaniah. Atau dengan pengertian lain, bahawa hati itu hidup dengan keimanan yang mantap kepada segala sesuatu yang wajib diimani. Kerana itulah, maka ulamak Al-Imam Ibnu Athaillah menerangkan kepada kita, bahawa hati yang hidup dengan keimanan itu ialah hati yang gundah-gulana. Apabila yang punya hati sendiri meninggalkan perintah-perintah Allah swt, apalagi bertentang dan berlawanan denganNya.

Hati yang hidup adalah hati yang merasa pedih dan pilu apabila yang punya diri mengerjakan maksiat-maksiat, tetapi hati yang hidup akan senang sekali apabila dirinya mengerjakan perbuatan-perbuatan yang diperintahkan atau yang dianjurkan Allah swt. Bahkan hati itu sendiri mencari-cari segala sesuatu yang diredhai oleh Allah swt. Kerana itulah apabila hati sudah tidak merasakan pedih dan pahit, tidak menyesali perbuatan dan amalan yang mungkar, malah berbangga dan berusaha menambah kemungkaran walaupun telah sekian lama nasihat diberikan dan melihat sendiri contoh-contoh akibat orang sering melakukan kerosakan, namun ia tetap terus dengan kedegilan, maka ini adalah contoh orang yang telah mati hatinya atau paling tidak hatinya telah sarat dengan karat dan perlu kepada taubat dan beramal soleh untuk menggilap semula hatinya supaya nur dan cahaya akan menerangi hatinya.

Sebagai dalil bagi keterangan di atas, dapat kita lihat adanya perbedaan antara manusia yang hidup dengan manusia yang mati. Manusia yang hidup dapat merasakan segala-galanya. Dapat meraskan kesenangan, maka gembiralah ia, dan dapat meraskan kepahitan dan kesakitan, maka gundahlah ia dan menyesallah ia atas yang tidak baik itu. Tetapi manusia yang mati tidak dapat merasakan segala-galanya, tidak merasakan kesenangan, tidak merasakan kegundahan dan tidak ada padanya penyesalan apa-apa. Kalaulah demikian, maka demikian pulalah hati manusia dengan perbezaan antara hati yang hidup dan hati yang mati.

Di dalam hadith Rasulullah saw yang diriwayatkan oleh Thobrani dari Abu Musa r.a, Nabi kita telah bersabda tentang membayangkan hati yang hidup dan hati yang mati, beliau bersabda :
"barang siapa yang menggembirakan akannya oleh kebaikannya dan menyusahkan akannya oleh kejahatannya, maka orang itu ialah orang yang beriman".

Maksudnya, apabila kita mengerjakan amal yang baik menurut agama kita, maka senang hati kita, lega perasaan kita dan gembira kita kerananya. Maka kita adalah orang yang beriman kepada Allah swt. Dan juga apabila kita mengerjakan sesuatu yang tidak baik, seperti mengerjakan larangan Allah, maka hati kita sempit, kita selau dalam resah gelisah, maka kita adalah orang yang beriman.

Baca Selanjutnya...

KELEBIHAN MEMBACA AL-QURAN


Terdapat dua jenis bacaan al-Quran

1) bacaan hakimah : iaitu membenarkan apa yang terdapat didalamnya, melaksanakan hukum hakamnya dengan membuat apa yang diperintahkan dan menjauhi apa yang dilarang.
2) Bacaan lafziah : iaitu sekadar membacanya.

Sesungguhnya terdapat banyak nas yang menceritakan kelebihan membaca al-Quran. Sama ada kelebihan itu meliputi membaca al-Quran seluruhnya, atau kelebihan surah-surah tertentu, atau ayat-ayat tertentu.

Daripada Saidina Uthman ra sesungguhnya Nabi saw telah bersabda : “sebaik-baik kamu orang yang mempe;lajari al-Quran dan mengajarnya”.
(hadith riwayat bukhari muslim)

Mafhum daripada hadith saidatina Aisyah bahawa Rasulullah saw pernah bersabda :

“orang yang mahir dalam bacaan al-Quran iaitu dari segi bacaan, sebutan huruf, tajwid mereka ini merupakan golongan yang mulia. Manakala mereka yang membaca al-Quran dalam keadaan tersangkut-sangkut (tidak lancar atau baru hendak belajar membaca al-Quran) baginya dua ganjaran pahala. Iaitu pahala membacanya, dan yang kedua pahala mujahadah untuk cuba mempelajari walaupun dalam keadaan sukar baru hendak belajar. Berkata Abi Musa rh, sesungguhnya Nabi saw telah bersabda : orang mukmin yang membaca al_quran umpama al-atrajah (seumpama koktail yang merangkumi pelbagai campuran buah-buahan) baunya sedap , rasanya enak. Dan diumpamakan orang mukmin yang tidak membaca al-Quran seperti at-Tamrah (kurma) yang tidak ada bauan, tetapi rasanya manis.

Dalam riwayat Muslim, daripada Abi Umamah ra, sesungghunya Nabi saw telah bersabda : “bacalah olehmu al-Quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai syafaat bagi mereka yang membacanya”.

Dalil-dalil di atas menunjukkan kepada kita tentang kelebihan membaca al-Quran. Dan sesungguhnya ganjaran tersebut bagi mereka yang benar-benar bersungguh-sungguh dan bermujahadah mendapatkan pahala dari Allah swt. Membaca al-Quran bukanlah suatu perkara yang sukar untuk dilaksanakan, amalan yang ringan tetapi ganjaran pahala disisi Allah swt sangat besar. Maka rugilah bagi mereka yang leka dan lalai dalam merebut keuntungan yang tidak mungkin dapat ditawarkan oleh Makhluk melainkan hanya dari al-Khalik yang maha agung yang memberi dan tidak mengambil manfaat daripada apa yang diberi.

Oleh yang demikian, marilah sama-sama kita memperbanyakkan membaca al-Quran untuk mendapat kelebihan dan ganjaran yang besar disisi Allah swt. Lebih-lebih lagi dalam bulan ramadhan al-mubarak yang dilipatkali gandakan setiap amalan bagi mereka yang berpuasa dan memperbanyakkan amal soleh padanya.

Penurunan al-quran dalam bulan ramadhan mempunyai keistimewaan yang khusus agar manusia memperingati peristiwa agung ini dan seterusnya sentiasa kembali menyucikan diri, jasmani dan rohani dengan kembali kepada apa yang diturunkan oleh Allah swt didalamnya.

Sesungguhnya malaikat Jibril as bertemu dengan baginda Rasulullah saw untuk mengajar al-Quran pada setiap kali datangnya bulan ramadhan, dan dua kali pada tahun kewaatan baginda saw.

Golongan salifus soleh juga sangat menitik beratkan membaca al-Quran. Sehinggakan ada dikalangan mereka mengkhatamkan bacaan al-Quran tiga kali dalam masa sehari, ada yang lebih daripada itu.

Kedatangan ramadhan merupakan medan terbaik untuk kita mentarbiyah diri kembali membaca dan menghayati apa yang telah diturunkan oleh Allah swt seterusnya melaksanakan setiap perintah yang telah disuruh dan menjauhi segala apa yang dilarang.

Semoga ramadhan yang datang ini kita dapat mempertingkatkan amalan sebanyaknya. Semoga ia menjadi syafaat di akhirat kelak.

Baca Selanjutnya...

Saturday, June 6, 2009

JOM SOLAT


Berulang kali Allah SWT menyebut Solat di dalam Al-Quran. Allah SWT meninggikan kedudukannya, Allah SWT memerintahkan agar memelihara dan melaksanakannya dengan berjemaah. Dan Allah SWT peringatkan bahawa meremehkan dan bermalas-malasan dalam melakukan solat berjemaah merupakan ciri orang-orang munafiq, sebagaimana firman-Nya:-
"Peliharalah segala solat(mu) dan peliharalah solat Wustha (yang ditengah-tengah yakni Asar). Berdirilah kerana Allah (dalam solatmu) dengan khusyuk". (Surah Al-Baqarah; Ayat 238)
Dan bagaimanakah kita ingin mengetahui sama ada kita memelihara solat ataupun tidak? Padahal kita telah meninggalkan solat berjemaah bersama-sama suadara-saudara lain dan menganggap remeh kedudukannya. Sedangkan Allah SWT telah berfirman:-
"Dan dirikanlah solat, tunaikan zakat dan rukuklah beserta orang-orang yang rukuk. (Surah Al-Baqarah: Ayat 43)...

Baca Selanjutnya...

Thursday, June 4, 2009

QALBUN




Sabda Rasulullah SAW bermaksud :

"Sesungguhnya dalam jasad manusia itu ada seketul daging, jika baik daging itu itu maka baiklah keseluruhan jasad dan jika buruk, maka buruklah jasad keseluruhannya, ingatlah bahawa daging itulah hati".


Antara penyakit hati :
  • Irihati -Sifat yang tidak senang akan rezeki dan nikmat yang didapat oleh orang lain dan berusaha untuk menyainginya. Dalam ajaran agama iri dalam hal berbuat kebajikan dibolehkan.
  • Dengki - Dengki adalah sikap tidak senang melihat orang lain bahagia dan berusaha untuk menghilangkan nikmat tersebut.
  • Hasut / Provokasi - Selalu berusaha mempengaruhi orang lain agar kemarahan orang tersebut meluap dengan tujuan agar dapat memecah belah persatuan dan tali persaudaraan agar timbul permusuhan dan kebencian antara sesama.
  • Fitnah - Fitnah adalah suatu kegiatan yang menimbulkan permusuhan tanpa bukti yang kuat.
  • Buruk sangka - Sifat yang curiga atau menyangka orang lain berbuat buruk tanpa disertai bukti yang jelas.
  • Khianat - Sikap tidak bertanggungjawab atau mungkir atas amanah atau kepercayaan yang telah diserahkan kepadanya.

Baca Selanjutnya...

Thursday, May 21, 2009

BAGAIMANAKAH SOLAT KITA??

PETUA KHUSYUK DALAM SOLAT

1. Sentiasa menghadirkan hati meyakini kebesaran dan kekuasaan Allah.
2. Menghadirkan hati mengakui tentang kelemahan kita sebagai hamba Allah yang sentiasa memerlukan pertolongan Allah.
3. Menghadirkan hati mengakui segala kemewahan dunia dan kesenangan adalah sementara.
4. Tidak tergesa-gesa dalam menunaikan solat kerana tergesa-gesa boleh membawa kepada luputnya beberapa perkara penting untuk khusyuk.
5. Hendaklah menunaikan solat pada awal waktu dan secara berjemaah.
6. Pakaian yang digunakan dalam solat hendaklah bersih daripada najis. Begitu juga dengan sejadah. Ia hendaklah bersih dan tidak mempunyai gambar-gambar yang boleh melalaikan solat.
7. Dalam suasana yang aman tanpa suara bising daripada kanak-kanak mahupun menerusi televisyen atau radio.
8. Imam hendaklah seorang yang elok bacaannya kerana bacaan yang elok membantu menghadirkan hati. Imam itu pula tidak dibenci oleh ahli jemaah.
9. Bersihkan fikiran daripada masalah hidup dan tumpukan sepenuh perhatian kepada Allah.
10. Membuang air kecil dan air besar terlebih dahulu jika berasa perlu berbuat demikian. ini kerana orang yang solat dalam keadaan menahan buang air kecil dan buang air besar tidak akan memperoleh kekhusyukan.
11. Tidak berada dalam keadaan lapar atau terlalu kenyang kerana orang yang lapar hanya memikirkan untuk makan. Begitu juga dengan orang yang terlalu kenyang berada dalam keadaan tidak selesa dalam setiap pergerakannya.
12. Kesihatan tubuh badan hendaklah dijaga. Badan yang sakit sukar mendatangkan rasa khusyuk dalam solat.
13. Hati hendaklah hadir dalam solat, bukannya melayang tak tentu arah.
14. Memahami makna bacaan dalam solat




Baca Selanjutnya...

Friday, April 3, 2009

HADIS PILIHAN BULAN INI

Niat dan Tujuan


Hadith ini hadith pertama dalam Matan Arba'in Imam Nawawi, sebagai peringatan pada diri sendiri (yang selalu sangat leka terbawa nafsu).


Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
"Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu."

Baca Selanjutnya...

Hubungi Admin

BAHAN KSSR UNTUK SATU MALAYSIA

KSSR Bahan Sokongan >> (NEW)
Dokumen Standard Kurikulum Pentaksiran KSSR>>

MUQADDIMAH



Sekolah Kebangsaan Parit Haji Taib terletak di Bagan Serai, di daerah Kerian dalam negeri Perak Darul Ridzuan. Sekolah ini merupakan salah sebuah sekolah yang mengikuti Program j-QAF. Program j-QAF mula diperkenalkan di sekolah Parit Haji Taib pada tahun 2007 dan adalah merupakan tahun ke-3 setelah perlaksanaan j-QAF di seluruh negara diadakan. Sekolah ini mempunyai dua orang guru j-QAF dan dua orang guru GPI.
Untuk merialisasikan programj-QAF tanpa gagal, guru GPI dan guru j-QAF di SK Parit Haji Taib ini sentiasa berganding bahu, bersatu padu dan bekerjasama dalam melaksanakan aktiviti serta program yang berkaitan. Apa yang dibanggakan, setiap aktiviti yang dilaksanakan di sekolah ini sentiasa mendapat kerjasama semua guru-guru juga kakitangan sekolah yang lain.


FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN


FALSAFAH PENDIDIKAN ISLAM :

Pendidikan di malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dab bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan untuk melahirkan warga Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga masyarakat dan negara

MIN AINA ...ILA AINA....

PENAFIAN / DISCLAIMER

© 2009 BLOG J-QAF SK PARIT HAJI TAIB, Hakcipta Terpelihara. Semua tulisan, pendapat, komen dan foto yang ada di blog ini adalah kepunyaan J-QAF SK PARIT HAJI TAIB melainkan dinyatakan sebaliknya. PIHAK JQAF SK PARIT HAJI TAIB tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang diperolehi daripada blog ini.

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP