Hadith 2 Orang Yang diazab


عن عبد الله بن عباس رضي الله عنهما قال: مَرَّ رَسُولُ اللَّهِ (عليه الصلاة والسلام ) عَلَى قَبْرَيْنِ فَقَالَ: أَمَا إِنَّهُمَا لَيُعَذَّبَانِ وَمَا يُعَذَّبَانِ فِي كَبِيرٍ، ثم قال بلى، إنه لكبير، أَمَّا أَحَدُهُمَا فَكَانَ يَمْشِي بِالنَّمِيمَةِ، وَأَمَّا الْآخَرُ فَكَانَ لَا يَسْتَتِرُ مِنْ بَوْلِهِ، قَالَ: فَدَعَا بِعَسِيبٍ رَطْبٍ فَشَقَّهُ بِاثْنَيْنِ، ثُمَّ غَرَسَ عَلَى هَذَا وَاحِدًا، وَعَلَى هَذَا وَاحِدًا، ثُمَّ قَالَ: لَعَلَّهُ أَنْ يُخَفَّفُ عَنْهُمَا مَا لَمْ يَيْبَسَا)) البخاري ومسلم
Daripada ibnu Abbas berkata; ” Suatu masa Rasulullah melintasi 2 kubur, lalu baginda bersabda; ” Adapun mereka berdua sedang diazab, dan mereka tidak diazab kerana dosa besar “, kemudian Nabi berkata; ” Ya, bahkan ianya dosa besar, adapun yang pertama, dia selalu melakukan Namimah, adapun yang kedua dia tidak menyucikan diri dari kencingnya “. Ibnu Abbas berkata; ” Maka Nabi memanggil seseorang agar didatangkan baginya kayu yang masih basah lalu dibelah kepada dua, kemudian ditanam yang satunya ke kubur ini dan yang lain ke kubur yang ini (kubur kedua). Kemudian baginda bersabda; ” Semoga dengannya akan dikurangkan azab mereka selama mana (kayu) masih basah “. Bukhari & Muslim.
Hadis ini adalah hadis yang agung, mengandungi peringatan dan amaran serta azab bagi sesiapa yang melangkaui ketetapan Allah dalam toharah (bersuci) dan solat, ataupun menjadi pengeruh suasana dengan amalan Namimahnya. Berikut adalah beberapa faedah dan pemahaman daripada hadis :
1) Pengisbatan terhadap azab kubur, semoga Allah melindungi kita semua.
Hadis ini menunjukkan bahawa azab kubur bukanlah khas kepada orang kafir bahkan orang Islam juga mungkin diazab seperti yang berlaku kepada 2 orang muslim di dalam hadis bahkan dalam lafaz yang diriwayatkan oleh ibnu Majah dinyatakan; “bahwa Nabi melalui 2 kuburan yang baru” iaitu bukanlah kuburan orang jahiliyyah@kafir.
Wajar diketahui bahawa azab kubur @ nikmatnya berlaku kepada ruh dan jasad. Ini merupakan alam ghaib yang hanya diketahui melalui nas-nas wahyu. Azab yang berlaku kepada orang Islam adalah sebagai penyucian dan pembersihan. Boleh jadi ianya tidak berterusan. Ini berbeza dengan orang kafir yang azab di kubur mereka adalah kekal sehingga hari kebangkitan.

2) Hadis ini memperingatkan kita kepada kesucian badan dan pakaian
Membersihkan diri daripada najis kencing serta kewajipan supaya menyucikannya sekalipun jika kita tidak bermaksud untuk solat. Hadis didatangkan dengan 3 lafaz;
الأولى (لا يستتر من بوله), والثانية: (لا يستنزه من بوله) , والثالثة: (لا يستبريء
Adapun lafaz (la yastatir ) sebahagian ulama menyatakan bahwa si lelaki membuka auratnya ketika kencing tanpa menutupi auratnya dengan sesuatu agar tidak dilihat manusia. Sebahagian ulama yang lain berkata; ” Bahkan yang dimaksudkan ialah tidak menyelesaikan kencingnya hingga tidak lagi menitik-nitik. Tafsiran kedua menyamai lafaz kedua (La yastanzih) bermaksud tidak menyucikan.
Adapun bagi lafaz ketiga menunjukkan kepada pertambahan @ bersangat-sangat suci. Dengan itu hendaklah tidak tergesa-gesa selesai kencing untuk terus berdiri dan berjalan keluar sebelum memastikan tiada lagi titisan air kencingnya. Dalam pada itu hendaklah kita tidak merasa was-was @ melampau-melampau bahkan buat sekadar yang wajib tanpa memandang kepada kemungkinan-kemungkinan yang meragukan.

3) Berwaspada daripada Namimah (mengadu domba) & kegelinciran lidah.
Namimah adalah menaqalkan kata-kata manusia sesama mereka dengan tujuan melaga-lagakan dan permusuhan. Ini merupakan di antara dosa-dosa besar. Sedangkan Allah mahukan agar setiap muslim itu bersaudara dan bersatu. Tetapi dengan sebab pengadu domba ini maka berlakulah permusuhan. Allah telah memberi amaran dalam surah al-Qalam ayat 10-12 bermaksud;
“Dan janganlah kamu ikuti setiap orang yang banyak bersumpah lagi hina, Yang banyak mencela, yang kian ke mari menghambur fitnah, Yang banyak menghalangi perbuatan baik, yang melampaui batas lagi banyak dosa”.
Dalam hadis Nabi Muhammad berkata : “ Tidak masuk syurga orang yang mengadu domba (melaga-laga)”. Sebahagian ulama berkata : “ Sesungguhnya dia tidak diberi taufik dengan husnul khatimah “. Telah datang seorang lelaki kepada Hassan al-Basri lalu berkata: “ Sesungguhnya si fulan bercakap sesuatu tentang kamu “. Lalu beliau menjawab : “ Tiadakah utusan syaitan selain engkau ?”
Adu domba yang paling dahsyat ialah di antara keluarga dan kaum kerabat. Seperti yang kadang-kadang berlaku, si ibu melaga-lagakan anak perempuannya dengan suami yang juga menantunya. Lalu bercerailah akhirnya.

4) Berhati-hati dan berwaspada daripada dosa-dosa kecil,
Boleh jadi ianya menjadi punca kepada azab. Khususnya jika dosa kecil itu dilakukan secara berterusan. Sebab itu Nabi menyebut; ” Mereka tidak diazab dengan sebab dosa besar ,” kemudian Nabi menyebut selepasnya, “Bahkan sesungguhnya kerana dosa besar!”.
Para ulama menyebut: Ianya tidak besar pada anggapan 2 orang yang telah mati itu ataupun pada anggapan manusia. Sedangkan di sisi Allah ianya merupakan dosa besar. Ini seperti yang berlaku dalam ayat al-Quran bermaksud: ((kamu semua menyangkanya kecil@ mudah sedangkan di sisi Allah ianya sesuatu yang besar)).

5) Berwaspaada daripada sebab kepada azab kubur;
Antaranya maksiat-maksiat yang dilakukan oleh anggota badan. Ibnu Qayyim berkata: ” Maka azab kubur disebabkan maksiat hati, mata, telinga, mulut, lidah, perut, kemaluan, tangan, kaki dan seluruh anggota badan” Kemudian beliau menyebut lagi: Antara mereka yang diazab di kubur adalah; “pengadu domba, penipu, pengumpat, persaksian palsu, tukang fitnah, kaki bida’ah, pemakan riba, mereka yang memakan harta anak yatim, perasuah, peminum arak, pelaku zina, pelaku liwat dan lain-lain lagi. Dibacakan quran kepada mereka tetapi tidak memberi kesan. Kebanyakan manusia tidak selamat daripada azab kubur kecuali sedikit sahaja. Zahir kuburan itu adalah tanah, tetapi batinnya adalah azab dan seksaan”. Semoga kita dilindungi oleh Allah daripada azab kubur. Amin.

6) Kenapakah Nabi meletakkan kayu basah ke atas 2 kuburan tersebut? Apakah hikmah daripada kata-kata baginda: “Semoga diringankan azabnya selama mana kayu itu masih basah”?
Ulama menyatakan : “Kemungkinan diwahyukan kepada Nabi bahawa azab dikurangkan kepada mereka berdua untuk tempoh tersebut”. Sebahagian ulama pula berpendapat; ” bahawa Nabi memberi syafaat kepada mereka berdua atau mendoakan kepada mereka agar dikurangkan azab dalam tempoh tersebut (selama mana kayu masih belum kering). Ini berdasarkan dalil daripada Hadis Jabir dalam sahih Muslim antaranya disebutkan:
قال له: إِنِّي مَرَرْتُ بِقَبْرَيْنِ يُعَذَّبَانِ فَأَحْبَبْتُ بِشَفَاعَتِي أَنْ يُرَفَّهَ عَنْهُمَا مَا دَامَ الْغُصْنَانِ رَطْبَيْنِ
“Baginda Nabi berkata kepada Jabir bin Abdillah: “Sesungguhnya aku melalui 2 perkuburan yang sedang diazab, lalu aku suka supaya jika dengan syafaatku agar dikurangkan azab mereka berdua selama mana 2 dahan kayu itu masih basah (belum kering)”.

Bolehkah kita mencacakkan dahan kayu @ kayu di atas kubur?
1) Daripada hadis lepas dapat difahami bahwa perbuatan ini adalah khas bagi Nabi sahaja. Yang mana ianya dilakukan hanya kepada 2 orang ini tatkala Nabi mendapat tahu bahawa mereka diazab. Ini adalah zahir sunnah yang difahami oleh para sahabat. Sebab itu adalah suatu yang salah jika kita meletakkan sebatang kayu yang basah atau dahannya lalu diletakkan di atas kuburan dengan berhujjahkan kepada hadis ini.
2) Sedia dimaklumi bahawa Nabi melakukannya setelah mengetahui bahwa mereka sedang diazab. Ini adalah perkara ghaib yang diberitakan kepada baginda oleh Allah. Adapun kita mahupun para sahabat maka pasti tidak mengetahui perkara ini. Lantas jika kita melakukan seperti yang dilakukan oleh Nabi adalah sangat silap.
3) Para sahabat tidak pernah melakukan hal tersebut samada semasa hayat Nabi mahupun selepas kewafatan baginda. Mereka tidak meletakkan apa-apa di atas kuburan sesiapa jua seperti dilakukan oleh Nabi. Demikian juga para tabien dan tabi’ tabien.
4) Jika kita melakukannya ini, bermakna kita telah menyangka bahwa si mati sedang diazab. Maka ini adalah buruk sangka yang paling keji. Khasnya melibatkan orang yang telah mati.
5) Jika kita mendakwa atas dasar syafaat, lalu kita letakkan dahan kayu yang masih basah, maka kita tersilap dalam 2 perkara;
a) kita menyangka bahwa kita yang memberi syafaat kepada si mati dengan perbuatan itu, maka ini adalah penipuan dan sangat bertentangan dengan fahaman para sahabat. Syafaat yang mungkin berguna ialah mendoakan keampunan pada si mati @pun syafaat golongan tertentu di akhirat kelak.
b) Jika kita beranggapan bahwa kayu itu memberi syafaat kepada simati, maka ini juga adalah penipuan dan kesilapan besar. Kayu, tumbuhan @apa jua hidupan mereka tidak mampu memberi syafaat kepada si mati yang sedang diazab oleh Allah.
Jika dilihat daripada hadis, suci daripada najis adalah syarat sah solat, sedangkan orang yang ambil mudah dalam hal ini berpandukan hadis tadi, maka pelakunya mendapat azab kubur. Bagaimanakah pula bagi sesiapa yang ambil mudah atau melalaikan rukun-rukun solat dan kewajipannya? Lebih dahsyat lagi, bagaimana pula jika dia meninggalkan solat terus yang ianya merupakan rukun islam kedua?
Wallahu a’lam
Hadith 2 Orang Yang diazab Hadith 2 Orang Yang diazab Reviewed by صوفي اسحاق on 5:33 AM Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.